Friday, April 20, 2012

Rusuh...


J
eriji yang membentengi penglihatannya cuba untuk dipatahkannya. Jeriji inilah yang membungkam segala reaksinya, segala tindak-tanduknya sehingga tidak ada lagi kebebasan baginya. Kebebasan yang paling diharap-harapkannya. Paling tidak kebebasan untuk seseoang itu menzahirkan apa sahaja corak pemikirannya. Baginya kini, perbezaan corak pemikiran merupakan suatu kesalahan. Mungkin juga suatu jenayah. Jenayah yang dia sendiri tidak pasti di mana hujung pangkalnya. Apa yang dia tahu kini, perkara itu sudah diklasifikasikan sebagai jenayah. Jenayah kerana memiliki pandangan yang berbeza tentang sesuatu perkara.

     Sesekali ingatannya dijunam jauh kepada ratusan manusia yang melata di atas permukaan bumi. Memerhatikan setiap gerak-geri mereka. Apa yang mereka cari di sini? Apa yang mereka inginkan di sini? Terasa sangat dangkal untuk terus melata di sini. Baginya tempat ini semacam neraka buatan manusia. Neraka yang bakal menjahanamkan saki-baki kehidupan manusia. Tempat ini seakan dicipta untuk mengongkong pemikiran manusia. Pemikiran yang bertentangan dengan kehendak segelintir manusia yang menggelarkan diri mereka sebagai bangsawan. Suatu Crime!

“Kita tidak mahu wujud golongan seperti ini. Golongan yang tidak ada taat setia kepada barisan kita. Kita mahu mereka-mereka yang memiliki ideologi berkontra dihapuskan. Masukkan mereka ke dalam jeriji itu. Di situlah kediaman yang paling wajar bagi mereka.”

     Terngiang di telinganya petikan ucapan yang telah membangkitkan jiwa rusuhnya. Sesekali ucapan itu merobek gegendang telinganya. Pedih. Lebih pedih daripada keadaan jasadnya yang dibelenggu jeriji itu. Baginya, dia ialah perusuh. Dia mahu melepaskan cengkaman dan kongkongan pemikiran seperjuangannya. Dia mahu mengubah segala-galanya. Perspektif yang diciptakan oleh golongan itu hanya akan menghunjam golongan marhainis seperti mereka. Sembari kekesalan meruntun emosi rusuhnya. Namun nihil. Nihil dari segala daya usaha. Usaha yang hampir punah dek penyelewengan norma.

     Kini maut seakan berteleku di hadapannya. Tidak ada lagi perusuhan suci untuk membebaskan marhainis. Membebaskan mereka daripada kudrat seorang yang dianggap berkuasa.

“Hey kawan, semua sudah punah. Tidak ada lagi jalan untuk meleraikannya. Kau dan aku sudah jadi mangsa. Kita sudah tidak punya kekuatan untuk jatuhkan mereka. Mereka punya segalanya. Hatta dunia ini di bawah cengkaman  kuku besi mereka.”

      Seorang rakan sekamarnya cuba menyedarkannya. Suatu bentuk kesedaran yang tidak pernah wujud dalam dirinya. Tidak sekali-kali dia akan tunduk kepada apa yang telah diciptakan oleh mereka. Dia tahu siapa dirinya. Dia kagum dengan kebolehannya. Pernah suatu ketika dia berjaya menggumamkan mereka dengan hujah bernasnya. Ketika itu seorang daripada wakil mereka telah dicabar untuk berhujah dengannya tentang makna kebebasan. Dia berani tampil menangkis segala tipu daya mereka dengan hujah yang cukup bernas sehingga dia diangkat menjadi pemimpin kecil dalam komunitinya.

“Apa yang kami lakukan semua ini untuk kebaikan anda semua. Tidak sekelumit pun kami mengambil kesempatan di sebalik kesempitan anda-anda semua”.

“Bohong!” Bentaknya.

“Apa kebaikan yang kamu berikan kepada kami? Apa bentuk kebebasan yang kamu sogokkan kepada kami? Aku tidak nampak sebarang perubahan daripada kebaikan itu. Aku tidak rasa apa-apa yang bisa kubanggakan dengan generasi depanku. Di mana hak kami? Mulut kami kamu sumbat dengan pembohongan kamu. Tangan kaki kami kamu ikat dengan umpan-umpan palsu kamu. Pergi jahaman!”

     Perhimpunan yang tadinya berlatarkan pembohongan menjadi riuh seketika. Beberapa orang penyokong mereka mahu menghunjam lantaran kelancangan lidahnya. Tidak seinci dia berganjak dari kaku.

“Bertenang saudara. Apa yang saudara cuba cakapkan ini? Saudara jangan cuba membuat sebarang hasutan pada  perhimpunan ini. Ini perhimpunan kami. Kami bisa saja menghantar kamu ke pintu neraka.”

“Hey bangsat! Engkau siapa untuk musnahkan kewujudanku di sini. Ini kawasan aku. Aku bisa saja buat kamu berjalan pulang tanpa kaki.”

     Bentakannya kali ini makin meninggi. Makin lantang pada gegendang telinga mereka. Cabul. Tetapi dia tahu, kecabulan bicaranya sama sekali tidak akan sampai ke tahap itu sekiranya haknya ditunaikan oleh mereka. Bukan haknya saja bahkan hak bertahun-tahun lamanya yang telah disogokkan kepada dia dan seluruh komunitinya.

     Seketika perhimpunan itu menjadi panas. Panas dengan pertelingkahan dua penjuru. Mereka di atas sana dan dia sedang memerhati dari bawah. Bersiap sedia dengan segala kudratnya. Komunitinya juga memandang tepat pada sekujur tubuh di hadapan mereka. Sekujur tubuh yang bakal mereka ratah sembari lagi. Sangkaannya tepat, apabila seorang pemuda daripada pengikut mereka mengkasarinya dengan cuba menghayunkan tumbukan tepat ke muka. Kacau. Suasana semakin kacau. Tumbukan yang cuba hinggap pada batang hidungnya berjaya dielak. Lalu sekonyong-konyong pantas saja tangannya menerpa pipi pemuda itu. Ya, semuanya bermula dari kejadian itu. Lantas dia dituduh cuba mencederakan pemuda itu yang kononnya dilindungi oleh sistem mereka.

“Hey kawan, berhentilah berangan. Kita sudah ada di ruangan ini. Ruangan yang tidak bisa kita lepasi. Ini tahanan selama-lamanya. Adakah kau menyesal dengan peristiwa itu?”

“Tidak!”

“Jadi mengapa kau begitu pilu? Cuba meratapi silammu.”

“Aku tidak meratapi nasibku, tapi aku tidak sanggup melihat nasib komunitinya. Aku tidak sempat berjuang untuk mereka sehingga aku dihumban berada dalam jeriji ini!”

      Kata-kata penuh semangat itu menyedarkan rakan sekamarnya itu. Ternyata pemuda di hadapannya punya semangat rusuh yang tinggi. Semangat untuk menghapuskan segala bentuk penipuan ke atas komunitinya. Menghapuskan penindasan ke atas jasad-jasad mereka. Meniupkan kembali lembaran-lembaran jiwa rusuhnya yang semakin menipis. Dia juga sepertinya. Pernah melakukan perkara yang sama. Membentangkan barisan mereka demi melihat tiada lagi sebarang bentuk kekejaman. Kekejaman dalam bentuk paling halus. Sehingga komunitinya tidak dapat membezakan kekejaman dan pembelaan. Penindasaan dan pengharapan. Menggelongsor dalam pelupuk nadi setiap komunitinya.

“Maafkan aku kawan. Aku tidak berniat untuk menjatuhkan semangatmu. Tapi sudah tidak ada apa yang harus kita buat lagi. Dan sebentar lagi kita akan menerima padah akibat perusuhan kita ke atas mereka.”

“Jadi, Kamu fikir aku akan patuh kepada mereka? Setelah segala bentuk penindasan mereka junamkan pada jasad-jasad kita? Setelah segala bentuk pemikiran kita dikongkong oleh mereka? Itu yang kau mahu?”

     Keadaan reda seketika. Rakannya seperti kehilangan modal untuk menukas bicara. Apa yang pasti dia turut terpana dengan semangat yang ditunjukkan olehnya. Semangat seorang perusuh yang mahukan pembebasan serta-merta. Namun, hakikatnya, nyawa mereka sudah berada pada genggaman sistem. Sistem yang telah ditentukan oleh mereka yang telah menyekat pemikiran dia dan komunitinya. Sistem yang tidak menguntungkan pihak seperti mereka. Sistem yang sentiasa berat sebelah. Tidak ada lagi harapan untuk mengalunkan dendang pembebasan seperti dulu. Tidak ada lagi peluang untuk melihat komuniti mereka meraih hasil daripada usaha mereka. Semua usaha hanya nihil. Kudrat mereka telah dibungkam erat oleh golongan itu.

     Jauh di sudut hatinya, dia benar-benar yakin, usaha pembebasan itu akan berterusan walaupun tanpa kewujudannya. Dia yakin, komunitinya sudah benar-benar faham akan tugas mereka. Iaitu melihat tiada lagi sekatan ke atas bentuk pemikiran. Wujudnya keterbukaan dan penerimaan. Tidak ada lagi sebarang bentuk penindasan serta berakhirnya segala bentuk kekejaman. Kekejaman yang paling halus. Paling bersih pada pandangan mata bangsawan. Malam terakhir di balik jeriji menyaksikan dua orang perusuh yang telah merempuh kebiasaan dan cuba berenang pada lautan penderitaan. Untuk apa? Memintal hak mereka sebagai marhain. 

No comments:

Post a Comment