J
|
eriji yang
membentengi penglihatannya cuba untuk dipatahkannya. Jeriji inilah yang
membungkam segala reaksinya, segala tindak-tanduknya sehingga tidak ada lagi
kebebasan baginya. Kebebasan yang paling diharap-harapkannya. Paling tidak
kebebasan untuk seseoang itu menzahirkan apa sahaja corak pemikirannya. Baginya
kini, perbezaan corak pemikiran merupakan suatu kesalahan. Mungkin juga suatu
jenayah. Jenayah yang dia sendiri tidak pasti di mana hujung pangkalnya. Apa
yang dia tahu kini, perkara itu sudah diklasifikasikan sebagai jenayah. Jenayah
kerana memiliki pandangan yang berbeza tentang sesuatu perkara.
Sesekali ingatannya dijunam jauh
kepada ratusan manusia yang melata di atas permukaan bumi. Memerhatikan setiap
gerak-geri mereka. Apa yang mereka cari di sini? Apa yang mereka inginkan di
sini? Terasa sangat dangkal untuk terus melata di sini. Baginya tempat ini
semacam neraka buatan manusia. Neraka yang bakal menjahanamkan saki-baki
kehidupan manusia. Tempat ini seakan dicipta untuk mengongkong pemikiran
manusia. Pemikiran yang bertentangan dengan kehendak segelintir manusia yang
menggelarkan diri mereka sebagai bangsawan. Suatu Crime!
“Kita tidak
mahu wujud golongan seperti ini. Golongan yang tidak ada taat setia kepada
barisan kita. Kita mahu mereka-mereka yang memiliki ideologi berkontra
dihapuskan. Masukkan mereka ke dalam jeriji itu. Di situlah kediaman yang
paling wajar bagi mereka.”
Terngiang di telinganya petikan
ucapan yang telah membangkitkan jiwa rusuhnya. Sesekali ucapan itu merobek
gegendang telinganya. Pedih. Lebih pedih daripada keadaan jasadnya yang
dibelenggu jeriji itu. Baginya, dia ialah perusuh. Dia mahu melepaskan
cengkaman dan kongkongan pemikiran seperjuangannya. Dia mahu mengubah
segala-galanya. Perspektif yang diciptakan oleh golongan itu hanya akan
menghunjam golongan marhainis seperti mereka. Sembari kekesalan meruntun emosi
rusuhnya. Namun nihil. Nihil dari segala daya usaha. Usaha yang hampir punah
dek penyelewengan norma.
Kini maut seakan berteleku di hadapannya.
Tidak ada lagi perusuhan suci untuk membebaskan marhainis. Membebaskan mereka
daripada kudrat seorang yang dianggap berkuasa.
“Hey kawan,
semua sudah punah. Tidak ada lagi jalan untuk meleraikannya. Kau dan aku sudah
jadi mangsa. Kita sudah tidak punya kekuatan untuk jatuhkan mereka. Mereka
punya segalanya. Hatta dunia ini di bawah cengkaman kuku besi mereka.”
Seorang rakan sekamarnya cuba
menyedarkannya. Suatu bentuk kesedaran yang tidak pernah wujud dalam dirinya.
Tidak sekali-kali dia akan tunduk kepada apa yang telah diciptakan oleh mereka.
Dia tahu siapa dirinya. Dia kagum dengan kebolehannya. Pernah suatu ketika dia
berjaya menggumamkan mereka dengan hujah bernasnya. Ketika itu seorang daripada
wakil mereka telah dicabar untuk berhujah dengannya tentang makna kebebasan.
Dia berani tampil menangkis segala tipu daya mereka dengan hujah yang cukup
bernas sehingga dia diangkat menjadi pemimpin kecil dalam komunitinya.
“Apa yang kami
lakukan semua ini untuk kebaikan anda semua. Tidak sekelumit pun kami mengambil
kesempatan di sebalik kesempitan anda-anda semua”.
“Bohong!”
Bentaknya.
“Apa kebaikan
yang kamu berikan kepada kami? Apa bentuk kebebasan yang kamu sogokkan kepada
kami? Aku tidak nampak sebarang perubahan daripada kebaikan itu. Aku tidak rasa
apa-apa yang bisa kubanggakan dengan generasi depanku. Di mana hak kami? Mulut
kami kamu sumbat dengan pembohongan kamu. Tangan kaki kami kamu ikat dengan
umpan-umpan palsu kamu. Pergi jahaman!”
Perhimpunan yang tadinya berlatarkan
pembohongan menjadi riuh seketika. Beberapa orang penyokong mereka mahu
menghunjam lantaran kelancangan lidahnya. Tidak seinci dia berganjak dari kaku.
“Bertenang
saudara. Apa yang saudara cuba cakapkan ini? Saudara jangan cuba membuat
sebarang hasutan pada perhimpunan ini.
Ini perhimpunan kami. Kami bisa saja menghantar kamu ke pintu neraka.”
“Hey bangsat!
Engkau siapa untuk musnahkan kewujudanku di sini. Ini kawasan aku. Aku bisa
saja buat kamu berjalan pulang tanpa kaki.”
Bentakannya kali ini makin meninggi.
Makin lantang pada gegendang telinga mereka. Cabul. Tetapi dia tahu, kecabulan
bicaranya sama sekali tidak akan sampai ke tahap itu sekiranya haknya
ditunaikan oleh mereka. Bukan haknya saja bahkan hak bertahun-tahun lamanya
yang telah disogokkan kepada dia dan seluruh komunitinya.
Seketika perhimpunan itu menjadi
panas. Panas dengan pertelingkahan dua penjuru. Mereka di atas sana dan dia
sedang memerhati dari bawah. Bersiap sedia dengan segala kudratnya. Komunitinya
juga memandang tepat pada sekujur tubuh di hadapan mereka. Sekujur tubuh yang
bakal mereka ratah sembari lagi. Sangkaannya tepat, apabila seorang pemuda
daripada pengikut mereka mengkasarinya dengan cuba menghayunkan tumbukan tepat
ke muka. Kacau. Suasana semakin kacau. Tumbukan yang cuba hinggap pada batang
hidungnya berjaya dielak. Lalu sekonyong-konyong pantas saja tangannya menerpa
pipi pemuda itu. Ya, semuanya bermula dari kejadian itu. Lantas dia dituduh
cuba mencederakan pemuda itu yang kononnya dilindungi oleh sistem mereka.
“Hey kawan,
berhentilah berangan. Kita sudah ada di ruangan ini. Ruangan yang tidak bisa
kita lepasi. Ini tahanan selama-lamanya. Adakah kau menyesal dengan peristiwa
itu?”
“Tidak!”
“Jadi mengapa
kau begitu pilu? Cuba meratapi silammu.”
“Aku tidak
meratapi nasibku, tapi aku tidak sanggup melihat nasib komunitinya. Aku tidak
sempat berjuang untuk mereka sehingga aku dihumban berada dalam jeriji ini!”
Kata-kata penuh semangat itu
menyedarkan rakan sekamarnya itu. Ternyata pemuda di hadapannya punya semangat
rusuh yang tinggi. Semangat untuk menghapuskan segala bentuk penipuan ke atas
komunitinya. Menghapuskan penindasan ke atas jasad-jasad mereka. Meniupkan
kembali lembaran-lembaran jiwa rusuhnya yang semakin menipis. Dia juga
sepertinya. Pernah melakukan perkara yang sama. Membentangkan barisan mereka
demi melihat tiada lagi sebarang bentuk kekejaman. Kekejaman dalam bentuk
paling halus. Sehingga komunitinya tidak dapat membezakan kekejaman dan
pembelaan. Penindasaan dan pengharapan. Menggelongsor dalam pelupuk nadi setiap
komunitinya.
“Maafkan aku
kawan. Aku tidak berniat untuk menjatuhkan semangatmu. Tapi sudah tidak ada apa
yang harus kita buat lagi. Dan sebentar lagi kita akan menerima padah akibat
perusuhan kita ke atas mereka.”
“Jadi, Kamu
fikir aku akan patuh kepada mereka? Setelah segala bentuk penindasan mereka
junamkan pada jasad-jasad kita? Setelah segala bentuk pemikiran kita dikongkong
oleh mereka? Itu yang kau mahu?”
Keadaan reda seketika. Rakannya
seperti kehilangan modal untuk menukas bicara. Apa yang pasti dia turut terpana
dengan semangat yang ditunjukkan olehnya. Semangat seorang perusuh yang mahukan
pembebasan serta-merta. Namun, hakikatnya, nyawa mereka sudah berada pada
genggaman sistem. Sistem yang telah ditentukan oleh mereka yang telah menyekat
pemikiran dia dan komunitinya. Sistem yang tidak menguntungkan pihak seperti
mereka. Sistem yang sentiasa berat sebelah. Tidak ada lagi harapan untuk
mengalunkan dendang pembebasan seperti dulu. Tidak ada lagi peluang untuk
melihat komuniti mereka meraih hasil daripada usaha mereka. Semua usaha hanya
nihil. Kudrat mereka telah dibungkam erat oleh golongan itu.
Jauh di sudut hatinya, dia
benar-benar yakin, usaha pembebasan itu akan berterusan walaupun tanpa
kewujudannya. Dia yakin, komunitinya sudah benar-benar faham akan tugas mereka.
Iaitu melihat tiada lagi sekatan ke atas bentuk pemikiran. Wujudnya keterbukaan
dan penerimaan. Tidak ada lagi sebarang bentuk penindasan serta berakhirnya
segala bentuk kekejaman. Kekejaman yang paling halus. Paling bersih pada
pandangan mata bangsawan. Malam terakhir di balik jeriji menyaksikan dua orang
perusuh yang telah merempuh kebiasaan dan cuba berenang pada lautan
penderitaan. Untuk apa? Memintal hak mereka sebagai marhain.