Saturday, April 14, 2012

Bangsat itu yang kaku berdiri...Aku kenali...

S
emalam waktu aku masih mencari identiti, ia hadir seperti tumpahan cahaya. Langsung menjunam jauh ke nubari. Naluri manusiawiku yang masih kosong dengan mudah membias dan bertindak balas penuh reaksi. Reaksi yang sering kali sukar untuk aku telusuri. Bahkan gawat untuk aku teliti. Dalam pencarianku semalam, aku begitu teliti dengan lorong yang akan aku lalui. Lorong yang akan membawa aku kepada sebuah pemahaman yang cukup sempurna tentang sesuatu situasi. Baik sukar, senang, statik atau gopoh. Namun, aku harus memilih. Harus membuat pilihan. Harus menentukan di mana telapak kaki ini akan menghamburkan derapan. Aku sering bermonolog tentang pilihanku. Aku tidak faham kenapa harus aku memilih yang itu? Mengapa aku harus memilih yang ini? Apa kelebihan yang itu punyai? Apa keindahan yang ini saji?

“Hei ... celakalah engkau dengan pilihanmu. Belum pun sempat kau mengorak, tersungkur sudah pasti. Kaki-kakimu bakal menjadi mangsa cengkaman pilihanmu. Berhati-hatilah engkau.”
            Terngiang, kadang membisiki. Aku buntu. Kalau boleh aku tidak mahu terlibat dengan sebarang pilihan. Aku enggan jadi mangsa keadaan. Mengapa perlu ada begitu banyak pilihan?

“Engkau harus faham fungsi kepelbagaian. Antara lainnya mengindahkan. Walaupun lebih banyak yang menjengkelkan. Jengkel pada pandangan mata mereka yang menolak pilihan itu. Namun indah pada sisi si pengabdi pilihan.”

            Kusut. Serabut. Lingkaran yang semakin tidak piawai menghentam remuk aku dan pilihan yang bakal aku tentukan. Ku dalam dilema. Antara aku pilihan dan dilema. Aku mungkin di tengah-tengah. Tapi apa kaitannya? Ya, ramai yang memilih untuk berada di tengah-tengah. Tidak menyebelahi kiri kanannya. Tapi aku? Mengapa aku tidak menjadi antara mereka yang di tengah-tengah?

“Masih memilih?”

“Huh ... errr ... ya, tapi ...”

“Hmm ... tak mengapa. Aku faham nalurimu. Masih putih. Belum dicemari.”

“Bukan begitu ... Aku tak mampu. Aku rasa aku belum sedia untuk memilih. Kadang aku rasa seperti bukan diri sendiri. Apa yang harus aku buat?”

“Sebentar. Engkau siapa dan bagaimana engkau tahu perkara ini?”

“Haha ... Lewat kamarmu ini aku sering jadi pemerhati. Memerhatikan gerak-gerimu. Kau tak pernah tahu bahawa ada yang menatapmu. Ya, aku tahu semua tentang dirimu. Tentang tingkah lakumu. Sampai aku sudah faham dengan nalurimu. Sebentar tadi juga aku sudah berkira-kira tentang pilihan yang bakal engkau ambil.”

“Apa? Sejauh itu engkau mengetahui tentang aku? Mengapa engkau terpanggil untuk menjadi peneliti? Mengapa aku yang engkau pilih?

            Dia hanya tergelak dengan pertanyaan yang aku ajukan. Lagaknya seperti sebuah pertunjukkan silap mata sedang aku persembahkan. Terbahak. Membahak lagi. Aku mahu jawapan. Kepastian. Bukan gelak ketawanya.

“Hahah ... anak muda ... Kau jangan perasan lebih. Lebih ramai yang aku perhati selain daripada engkau. Engkau hanya seorang daripada mereka. Mereka yang juga telah menghadapi situasi begini. Situasi perlu memilih. Antara desakan dan keinginan. Sekali-kali kau tidak akan faham kewujudanku. Ya, suatu hari nanti kau akan mengerti, bila pilihan yang telah engkau putuskan kau fahami sesungguh hati.”

“Hah ... maksudnya kau akan sentiasa mendampingi aku?”

“Haha ... dasar perasan lebih. Bukan engkau saja yang akan aku dampingi. Semua yang terlibat dalam keputusan ini.”

            Dia tergelak lagi. Menyeringai suaranya membuat aku pedih telinga. Aku telangkupkan kedua-dua belah tanganku ke kuping. Aku pejam rapat kedua-dua bola mataku. Dalam hati aku menyumpah seranah kehadirannya. Semoga dia cepat pergi. Tinggalkan aku bersama situasi. Ahh ... tapi aku perlu pandangannya. Mungkin boleh bantu aku untuk memilih. Pecahkan gelembung situasi ini. Aku tidak sanggup melayani naluriku sendiri. Membuat aku membungkam sendiri pada penjuru kamar ini. Ya, aku perlu bantuannya.

“Haha ... kau masih mahu membohongi diri sendiri. Puaskah engkau dengan pembohongan itu? Kau cuba lari dari mengilhamkan sebuah peleraian. Engkau jangan silap anak muda, sejauh mana engkau lari, sejauh itu situasi ini akan belenggu naluri.”

“Tidak. Aku bukan hendak lari. Tapi kau pun faham aku sudah berdepan satu situasi dan kemunculanmu pula menjadikan aku memikul dua situasi. Mahukah engkau bantu aku? Pecahkan teka-teki ini?”

            Matanya menatap tajam ke arahku. Seraya berhamburan gelak tawanya.
“Hahaha ... akhirnya engkau menyerah juga. Tidak ramai yang mampu bertahan sejauh ini. Kebanyakan mereka putus asa seperti kamu. Dan akhirnya mengharapkan bantuanku. Aku yakin kau sedar kemampuanku. Di sana sini aku sering membantu. Memberikan keindahan kepada sebuah kehidupan. Menjadikan kebahagian dan kekayaan. Hahaha...”

            Kaget. Aku benar-benar kaget. Adakah aku berhadapan dengan seorang musuh atau pembantu? Aku seperti tahu ungkapan yang dizahirkannya sebentar tadi. Aku membelek-belek kembali ingatanku pada ungkapan itu. Apa yang di maksudkan dengan ungkapan itu? Siapa gerangan dia untuk memberi kesenangan kepada semua? Sedikit demi sedikit lipatan ingatan yang begitu serabut terurai.

“Hei ... aku tahu engkau siapa. Aku kenal betul dengan engkau. Mengapa engkau hadir di hadapanku. Kau pembunuh. Kau pemusnah kehidupan ribuan insan. Kau belenggu kaki mereka supaya menghamba kepadamu. Kau tutup rapat mulut mereka untuk mengatakan perkara yang buruk tentangmu. Dan mereka yang di atasmu melindungi kepentinganmu. Kau bangsat. Kau janjikan insan dengan hal-hal yang tidak pasti. Yang sebenarnya tidak begitu penting untuk mereka miliki. Kau momokkan mereka dengan keindahanmu. Kononnya engkaulah pemudah cara. Pergi jahanamlah engkau!”

“Hahaha ... Hei, kau sudah mampu berkasar denganku? Bukankah tadi engkau yang merayu simpati dariku? Hahaha ... kalau engkau mahu, aku bisa saja membantumu. Aku punya segenap kemampuan. Tidak hairanlah si miskin yang tempang itu pun aku bantu. Sewajarnya dia bersyukur dapat hidup mengenaliku. Orang yang membenciku pantas saja untuk aku telangkupkan mukanya.”

            Aku pasti. Itu memang dia. Sang laknat yang kononnya menjanjikan seribu erti kepada kehidupan ini. Walhal dialah yang memusnahkan keyakinan. Sehingga tidak kurang yang menjadi gila akibatnya. Dijanjikan dengan pekerjaan. Kononnya, pemerintah membawanya untuk menampung urbanisasi yang meghambat. Kononnya, semakin mereka menapak, semakin dilihat indah kehidupan kami. Padahal tidak kurang yang menjadi mangsa kepintarannya. Sehinga ramai yang mencari makanan pada longgokkan sisa-sisa. Freeganisme? Itu kepada mereka yang sedar tentang kehadirannya. Tapi yang tidak sedar dan telah hanyut bersama arusnya bagaimana? Dia lebih bijak daripada otak manusia. Aku faham kini. Aku pernah mentelaah situasi ini dan aku rasa ini ada kaitan dengan pilihan yang harus aku hadapi.

“Kau tidak puas lagi membutakan mata hati insan. Kau memang keji. Kau tipu mereka dengan keindahan. Pergi jahaman dengan keindahan engkau. Aku paling benci golongan seperti engkau. Pemerintah di atasmu juga seperti engkau. Dan aku tahu mereka menjaga segala kepentingan engkau.”

“Hahaha ... anak muda, tidak siapa yang bisa menghalangiku sekarang. Semua sudah terlambat. Aku sudah kukuh di sini. Sudah menjadi darah daging negaramu. Sudah menjadi sebahagian daripada pemerintahan pemimpinmu. Hahaha ... Apa dayamu untuk menjatuhkan aku? Hei ... lebih baik engkau turuti saja keinginanku dan akan ku tunjukkan pilihan yang tepat untukmu. Bagaimana? Aku punya segalanya untuk memudahkanmu.”

“Ahh ... sudah! Sekali-kali aku tidak akan tunduk dengan kehendakmu. Aku bukan seperti mereka yang menghamba kepadamu. Aku punya sistem fahamanku sendiri. Semua orang mampu untuk menjulang tanpa sedikit pun berbuat keji sepertimu. Penuh penipuan. Kau letakkan semahal-mahal harga pada asetmu. Dan manusia bodoh itu tunduk kepadamu. Kononnya kau telah mewujudkkan sebuah perkara yang paling dicari-cari oleh mereka.”
“Sudah ... baik engkau ikut saja.”

“Tidak selagi tulang empat keratku mampu memikul tanggungjawab, sekali-kali tidak akan aku tunduk kepada kemahuanmu. Aku mahu kau tahu ada lebih ramai lagi mereka yang sepertiku. Memandang jijik perbuatanmu. Penindasan. Aku bencikan penindasan. Apatah lagi bila engkau sebagai pelaku. Suatu hari nanti, urban ini akan dipenuhi dengan manusia yang berjiwa bebas seperti aku. Tidak tunduk kepadamu. Dan engkau akan diseret dengan begitu hina kembali ke asalmu. Tunggu sehingga kami menjatuhkan pemerintah kami. Kau akan berkubur bersama pemerintah keji itu.”

            Samar-samar halusinasiku terhenti. Ahh ... aku berhujah dengan naluriku sendiri. Sejahat itu dia menghasut naluriku. Sejauh itu dia mengenaliku. Mungkin selepas beberapa kategori sasaran pasaran yang dianalisisnya. Dan aku antara satu mangsanya. Dia menghasutku dengan perantaraan naluriku. Aku hampir saja terlupa dengan pilihanku. Pilihan yang membawaku kepada penghujahan ini. Bagaimana dengan persoalan pilihanku tadi? Aku memutuskan untuk abaikan saja pilihan itu. Aku tahu tepat atau tidak pilihan itu tidak mampu untuk membawa perubahan kepada situasi di depanku. Ditambah lagi dengan kehadiran si penindas itu. Pergi jahaman dengan segala asetmu.

No comments:

Post a Comment